Friday, November 18, 2016

PEMAJU, KONTRAKTOR HARUS DIBERI INSENTIF CUKAI IBS




Naib Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Tan Sri A.K Nathan berkata, pendedahan kepada penggunaan IBS bukan sahaja membabitkan pengeluar komponen tersebut semata-mata sebaliknya turut dimainkan golongan pemaju dan kontraktor.
Katanya, pengeluar IBS boleh mendapat manfaat tetapi insentif itu harus diberikan kepada kumpulan yang betul sekali gus dapat membantu merangsang penggunaan IBS dalam sektor pembinaan.
“Ini merupakan antara sebab mengapa usaha untuk meningkatkan penggunaan IBS masih belum berjaya sehingga kini. Jika perkara ini tidak diambil tindakan sewajarnya, maka kita akan terus ketinggalan mungkin dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Forum IBS yang diadakan dengan kerjasama MIDA dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) pada Ekspo Perumahan IBS sempena Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW ) 2016 di sini hari ini.
Forum bertajuk Kemudahan, Insentif dan Cabaran Dalam Pelaksanaan IBS di Malaysia itu dikendalikan Pengerusi CIDB Holdings Sdn. Bhd., Datuk Seri Ir. Judin Abdul Karim.
Ia turut disertai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Phang Ah Tong; Pengarah Bandar Utama Development Sdn. Bhd., Tan Sri Teo Chiang Hong; Pengarah Pembangunan Perbankan dan Enterprise SME Bank, Abd. Karim Ahmad dan Penasihat Teknikal Peninsular Precast, Ir. Mohd. Sabri Abdullah.
ICW dianjurkan CIDB bertemakan Memacu Produktiviti Dalam Pembinaan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi seperti IBS dalam sektor pembinaan.
MIDA menyediakan kemudahan fiskal dan bukan fiskal untuk menarik syarikat-syarikat menggunakan kaedah IBS. Syarikat yang mengeluarkan komponen IBS layak untuk memohon insentif cukai daripada MIDA sama ada dalam bentuk ­Pioneer Status atau Investment Tax Allowance (ITA).
Di bawah insentif itu, mesin, peralatan atau bahan mentah yang diimport bagi mengeluarkan komponen IBS dan tidak terdapat di dalam negara boleh memohon pengecualian cukai import.
Sementara itu, Nathan berkata, penggunaan IBS tidak boleh bergantung kepada sektor swasta semata-mata kerana kerajaan juga mempunyai banyak projek pembinaan.
“Dalam konteks ini, kerajaan boleh menggalakkan IBS digunakan sekitar 50 hingga 70 peratus dalam projek-projek tersebut walaupun mungkin tidak mencapai 100 peratus.

“Jadi, tidak mustahil kita mempunyai keupayaan untuk membangunkannya di dalam negara tanpa perlu melihat kepada pembangunan baharu di luar negara,” katanya.