Saturday, December 24, 2016

RUMAH IBS UNTUK GENERASI KEDUA FELDA

Kopesa koperasi pertama di Malaysia
Guna Sistem Binaan Industri, rumah siap seminggu
FARIK SALLEH  |  16 Disember 2016 12:10 AM
   

HALIMAH MOHAMED SADIQUE memotong riben merasmikan Rumah Contoh Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia di Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini. UTUSAN/FARIK SALLEH


KOTA TINGGI 15 Dis. - Koperasi Peneroka Felda Sungai Sayong Kulaijaya Berhad (Kopesa) menjadi koperasi pertama melaksanakan pembinaan rumah menggunakan Sistem Binaan Industri (IBS) yang mampu disiapkan dalam tempoh seminggu. Pengerusinya, Mhd. Tazri Sidek berkata, menerusi pembinaan rumah contoh itu, koperasi berkenaan yang sudah wujud 43 tahun yakin generasi kedua Felda tersebut dapat merebut peluang menceburi bidang pembinaan menggunakan kaedah berkenaan.


“Ilham untuk terlibat dapat pembinaan IBS ini timbul ketika kami mendapat rumah generasi kedua di kampung. Kami melakukan perbincangan dan bersetuju untuk mengambil peluang kerana tidak mahu pembangunan dan peluang itu berlalu begitu sahaja.

“Alhamdulillah kita dapat siapkan rumah contoh menggunakan sistem eco light weight wall panel ini dan kami yakin rumah ini mampu menjadi permulaan untuk Kopesa melangkah lebih jauh,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Rumah Contoh Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) Menggunakan IBS Eco Light Weight Wall Panel di Felda Air Tawar 3, dekat sini baru-baru ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang juga Ahli Parlimen Tenggara. Mhd. Tazri berkata, rumah contoh itu dibina sebagai syarat wajib dikenakan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi membolehkan Kopesa menjadi kontraktor IBS.
Menurutnya, meskipun tempoh diberikan SPNB adalah 45 hari, namun Kopesa berjaya menyiapkan sebuah rumah dalam masa tujuh hari waktu bekerja.
“Diharapkan pembinaan de­ngan cara IBS ini akan memberi manfaat selain dapat meningkatkan ekonomi, peluang pekerjaan kepada genersi kedua supaya mereka boleh terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam bidang ini,” katanya.



- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/kopesa-koperasi-pertama-di-malaysia-1.420250#sthash.7CYko3X2.dpuf

No comments:

Post a Comment